fb fb fb fb fb

Harga ayam di Kedah kekal stabil bawah RM9.40 menjelang Deepavali

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Kedah Affendi Rajini Kanth pada Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan SHMMP  Deepavali 2023

SUNGAI PETANI, 9 November- Harga runcit ayam di Kedah dijangka kekal stabil bawah RM9.40 sekilogram menjelang musim perayaan Deepavali Ahad ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Kedah Affendi Rajini Kanth berkata ini berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada peruncit dan pembekal ayam mengenai bekalan sumber protein utama untuk rakyat Malaysia itu.

"Semakan kita ketika pergi ke pasar-pasar basah kita mendapati harga masih dijual dengan harga RM7.90, RM7.50.

"Maksudnya di semua premis, luar premis dan juga pasar pasar malam semakan kita mendapati harga masih lagi bawah RM9.40,"katanya.

Katanya kecuali Langkawi  di mana ia dijual pada harga RM9.90 sekilogram ketika harga diturunkan mulai bulan ini dengan peruncit menjual ayam pada harga antara RM9.40 dan RM9.50 sekilogram

Beliau ditemui media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan SHMMP   Deepavali 2023  di sebuah pasaraya di bandar Puteri Jaya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada peruncit, pembekal dan penternak ayam atas kerjasama tidak menaikkan harga ayam termasuk pasaraya berkenaan yang menawarkan harga ayam yang murah.

Ayam tidak disenaraikan sebagai salah satu daripada lapan barangan keperluan yang disenaraikan bawah skim kawalan harga untuk Deepavali. Harga barangan dalam senarai itu stabil.

Setakat ini KPDN Negeri Kedah belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi daripada pengguna mengenai kenaikan harga barangan yang disenaraikan bawah skim kawalan harga sempena Deepavali.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE