KUALA TERENGGANU, 31 Mac- Hanya 3,528 daripada 6,855 pekerja asing yang didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja RTK 2.0 di Terengganu telah membuat pengesahan melalui pengecaman sistem biometrik yang berakhir hari ini.
Justeru, status 3,327 pekerja asing yang gagal berbuat demikian akan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula esok.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata, melalui program RTK 2.0 yang tamat 31 Disember tahun lalu, 712 majikan yang telah berdaftar di Terengganu melibatkan 6,855 pekerja asing.
Namun, hanya lebih separuh daripada jumlah itu yang hadir ke JIM Terengganu untuk membuat pengesahan sistem biometrik dalam tempoh yang ditetapkan kerajaan.
Majikan yang tidak datang membuat verifikasi pula adalah melakukan kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Maka selepas ini di bahagian kami, untuk mana yang sudah amik biometrik, yang sudah layak, kita sudah beri kuota untuk kita cetak pas kerja, pelekat dalam pasport mereka. Pergilah kerja seperti mana yang mereka daftar.
"Untuk siapa yang pegang slip itu, kita akan angkutlah," kata Azhar kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pengamal media Kelab Wartawan Media Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Mat Amin Hassan dan Presiden KAWAT, Ahmad Safri Husnaini Mohamad.
Dalam pada itu, beliau berkata, 598 PATI telah membuat permohonan untuk pulang secara sukarela ke negara asal mereka melalui Program Repatriasi Migran.
Daripada jumlah tersebut, 546 ialah pekerja lelaki, 45 perempuan dan tujuh kanak-kanak.
Negara tertinggi PATI yang membuat permohonan ialah Indonesia, Bangladesh dan Nepal.