PUTRAJAYA, 17 Jun – Kerajaan bakal menggubal semula Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dalam usaha memperkukuh sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menerusi penggubalan akta tersebut, nilai akademik Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan setanding dengan kelayakan ijazah sarjana muda dan Doktor Falsafah (PhD).
Beliau menegaskan, struktur semasa SKM yang hanya meliputi tahap satu hingga lima dengan kelayakan tertinggi setara diploma lanjutan itu, perlu diperluaskan.
"Saya bercadang membawa cadangan pindaan akta ini ke Parlimen, dengan harapan semua wakil rakyat akan memberikan sokongan. Kita mahu menambah tiga lagi tahap, enam, tujuh dan lapan agar laluan pendidikan TVET menjadi setara dengan laluan akademik tertinggi," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran P10X Academy Sdn Bhd di Putrajaya.
Sebagai institusi TVET baharu yang berpaksikan industri, P10X Academy menjadi contoh bagaimana kerjasama strategik sektor swasta dan kerajaan mampu melonjak kemahiran belia ke arah pasaran kerja berpendapatan tinggi, inovatif dan berdaya saing.
Steven turut menekankan pentingnya perubahan persepsi masyarakat terhadap bidang TVET, yang kini menjadi antara pemacu utama pembangunan kemahiran belia dan peluang kerjaya masa hadapan.
"TVET kini diiktiraf sebagai komponen utama pembangunan negara dengan kadar kebolehpasaran graduan TVET telah mencecah 94 peratus pada tahun 2024, membuktikan nilai tinggi kemahiran teknikal dalam pasaran kerja," tambahnya.
Kerajaan turut meningkatkan peruntukan TVET kepada RM 7.8 bilion dalam Belanjawan 2025, termasuk geran padanan RM50 juta untuk menggalakkan kerjasama sektor swasta dalam peluasan penerimaan graduan TVET.