
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Seramai 29 rakyat Malaysia yang didakwa diculik rejim Zionis Israel dijangka dibawa pulang tidak lama lagi menerusi usaha diplomatik bersama Malaysia dan Turkiye.
- Turkiye telah menghantar tiga pesawat ke Israel untuk membawa keluar individu yang ditahan.
- Usaha dilakukan melalui hubungan diplomatik erat antara Menteri Luar Malaysia, Perdana Menteri dan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
- Fahmi mendoakan keselamatan mereka, berharap pulang dengan selamat dan memuji keberanian sebagai pembakar semangat rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Turkiye sudah menghantar tiga pesawat ke Israel bagi membawa keluar semua individu yang ditahan termasuk rakyat Malaysia.
“Ini telah diusahakan bersama dalam hubungan diplomatik yang sangat baik antara Menteri Luar Malaysia dan Turkiye, antara Perdana Menteri dan juga Presiden Recep Tayyip Erdogan.
“Jadi insya-Allah, rakan-rakan kita akan pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya hari ini.
Beliau turut mendoakan kesemua rakyat Malaysia terbabit selamat tiba di tanah air, selain menyifatkan keberanian mereka berdepan kekejaman rejim Zionis sebagai pembakar semangat kepada rakyat Malaysia.
“Keberanian mereka untuk terus berdepan dengan rejim yang zalim di Israel itu harus menjadi pembakar semangat untuk kita juga,” katanya lagi.