KOTA BHARU, 30 Mac - Golongan pesawah di Kelantan bersyukur dan berterima kasih apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200.
Azmi Yaakub, pesawah dari Kampung Budi, Kota Bharu berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam memberi kelegaan kepadanya sekeluarga.
Katanya, bantuan khas kewangan Aidilfitri itu cukup bermakna dan dapat digunakan untuk menyempurnakan kelengkapan hari raya mereka sekeluarga.
Beliau berkata, walaupun RM200 ianya cukup untuk menampung apa yang terkurang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Alhamdulillah saya bersyukurlah di atas bantuan yang kerajaan bagi sebanyak RM200 jadi kami sebagai petani ini boleh menampung (perbelanjaan) untuk Hari Raya ini walaupun dengan RM200 jadi kami bersyukurlah," kata Azmi.
(Foto hiasan)
"Sukalah sebab boleh membantulah sedikit, kerana sekarang ini kan musim kemarau dah bermula, jadi boleh tambah lah sedikit pendapatan, boleh beli baju raya anak," jelas Muhammad Ramli.
"Perasaan saya gembira dan terima kasih tak terhinggalah kepada kerajaan hari ini jadi kalau boleh berterusanlah dan kalau boleh saya nak minta kerajaan tambah lagilah insentifnya," menurut Yusof Muda.
Semalam, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.
Perdana Menteri berkata ia adalah tambahan kepada bantuan yang diumumkan kepada golongan itu dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan bulan lalu.