fb fb fb fb fb

GLC, swasta diseru laksana CSR bantu penduduk terjejas banjir

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

JOHOR BAHRU, 30 November - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta diseru bersama agensi kerajaan untuk turun padang membantu penduduk terjejas banjir.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu boleh dijadikan sebagai antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

"Saya rasa dalam isu banjir, kita sebagai rakyat Malaysia kena berganding bahu dan tolong-menolong.

"Sekarang kita mungkin tidak terkesan tetapi mungkin pada masa depan kita akan terkesan, jadi sebagai rakyat adalah lebih baik jika kita bersatu dan tolong-menolong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Peluncuran Karnival MyPesara di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru di sini.

Amir Hamzah berkata selain agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA), beberapa pihak lain juga dilihat telah mula memasuki kawasan terjejas banjir bagi menghulurkan bantuan.

"Kita nampak ada banyak pihak memberi pertolongan dan bantuan termasuk bantuan tenaga kerja ketika waktu banjir ini. Kerajaan ambil berat isu ini dan kita akan terus pantau perkembangan situasi dari semasa ke semasa," katanya.

Setakat 4.00 petang tadi, dilaporkan lebih 140,000 penduduk terjejas banjir ditempatkan di kira-kira 700 pusat pemindahan sementara yang dibuka di lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF