ISLAMABAD, 3 Oktober- Malaysia menghargai pendirian teguh Pakistan dalam isu genosid Israel terhadap rakyat Palestin.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Islamabad juga mengecam peningkatan keganasan di Asia Barat susulan kedegilan Zionis.
Jelasnya, kekejaman rejim Zionis menjadi lebih bahaya dengan pencerobohan yang meluas sehingga ke Lubnan dan pada masa yang sama pembunuhan beramai-ramai masih berterusan ke Gaza dan Tebing Barat.
"Kami telah mengatakan bahawa isu ini bukanlah isu peperangan antara dua negara, ia adalah pencerobohan sepenuhnya terhadap peraturan asas ketenteraman antarabangsa.
"Kita telah melihat begitu banyak negara tidak konsisten yang bercakap tentang hak asasi manusia dan kebebasan. Tetapi sangat selektif dalam membuat keputusan.
"Mengenai Kashmir, adakah anda akan berbincang kerana kami telah menyatakan dengan jelas bahawa kami komited untuk menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu", katanya dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatan, Shehbaz Sharif.
Dalam sidang media bersama kemudiannya, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia pada dasarnya bersetuju untuk mengimport tambahan 100,000 tan metrik daging dan beras Basmathi dari Pakistan.
Beliau yakin pengeksport daging halal Pakistan tidak akan menghadapi masalah untuk mematuhi peraturan ketat halal Malaysia bagi mengekalkan kualiti produk daging halal mereka.
"Perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Malaysia-Pakistan dan akan dibincangkan secara terperinci bagi memastikan perkara dipersetujui dilaksanakan.
"Mengenai import daging lembu, ia tidak menjadi masalah dan kami pasti akan meneliti perkara berkenaan. Memang kita perlukan, kita akan import dari negara lain. Jadi tiada sebab kita tidak boleh mengimport dari Pakistan. Tiada isu mengenai sijil halal", katanya.
Sementara itu, Pakistan juga kagum dengan ketokohan dan kepimpinan Datuk Seri Anwar dalam mentadbir Malaysia ke tahap lebih baik.
"Di bawah kepimpinan anda yang hebat, Malaysia sedang bergerak ke hadapan dengan maju yang mana boleh menjadi model untuk dicontohi.
"Pelaburan asing yang semakin meningkat, eksport juga semakin meningkat. Anda membawa perubahan yang mendalam dalam tadbir urus termasuk ketelusan dan memerangi rasuah", ujar Shehbaz Sharif.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar dan Shehbaz turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan.
Selain, MoU antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan mengenai pembangunan sektor digital.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya melancarkan himpunan karya terjemahan terpilih oleh penyair terkenal Pakistan, Allama Muhammad Iqbal yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu serta buku MADANI Malaysia yang diterjemahkan ke bahasa Urdu.
BERITA BERKAITAN:
- Malaysia-Pakistan ulangi komitmen perkukuh hubungan dua hala
- Lawatan rasmi PM ke Pakistan, perkukuh kerjasama dua hala
- PM tiba di Islamabad untuk lawatan tiga hari ke Pakistan
- Lawatan PM ke Islamabad: Buka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Pakistan
- Lawatan kerja PM ke Pakistan, buka lembaran baharu hubungan dua hala