fb fb fb fb fb

Kerajaan teguh pastikan semua peringkat dapat akses pendidikan

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA, 3 Oktober- Kerajaan kekal teguh memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses pendidikan, meskipun terdapat cadangan menyelaraskan semula pemberian subsidi pendidikan bagi golongan berpendapatan tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan, dasar itu akan terus mengutamakan kepentingan kepada semua golongan di setiap peringkat pendidikan.

Pada masa sama, fokus kerajaan adalah memastikan golongan berpendapatan rendah, khususnya B40, mendapat manfaat subsidi selain memastikan kesinambungan pendidikan golongan itu terjamin.

"Asas yang cuba disampaikan kerajaan ialah pertama melibatkan pendidikan di semua peringkat akses pendidikan. Dalam konteks ini pendidikan di peringkat asas termasuklah di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah ia akan diberikan kepada semua.

"...tanpa melihat kumpulan mana. Perkara itu berikutan ada yang mengatakan kerajaan cuba mendiskriminasikan subsidi pendidikan pada peringkat itu. Ianya tidak benar," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di sini.

Zambry mengulas perkara itu berikutan wujud dakwaan yang mengatakan cadangan menyelaraskan semula subsidi pendidikan melibatkan pendidikan peringkat asas.

Sementara itu, Zambry berpendapat pelaksanaan minggu orientasi bagi pelajar baharu di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dikekalkan namun pendekatannya harus selari dengan objektif asal.

Pada masa sama beliau turut menggesa pihak universiti untuk menerapkan pendekatan baharu yang lebih bermanfaat dan relevan, agar program orientasi terus memberi impak positif kepada pelajar.

"Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri pelajar-pelajar baru yang datang ke sesebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi proses penyesuaian diri.

"Ia akan membantu para pelajar untuk berkomunikasi selain mendapatkan rangkaian sosial dalam kalangan pelajar baharu. Namun saya setuju kiranya ada pendekatan baru yang lebih sesuai," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular yang menunjukkan beberapa fasilitator yang mebuat gurauan secara berlebihan semasa sesi orientasi di sebuah IPTA di Johor.

Selain itu beliau juga mahu institusi berkenaan untuk memperbaiki situasi tersebut bagi memastikan insiden seumpamanya tidak berulang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI