fb fb fb fb fb

GISBH: Polis akan mohon sambung reman 24 individu, pimpinan tertinggi esok

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Polis akan membuat permohonan menyambung reman 24 individu dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk pengurusan tertingginya bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tempoh reman 24 individu terbabit akan tamat esok dan setakat ini, mereka tidak ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Secara keseluruhan, seramai 93 ahli GISBH masih lagi direman manakala 34 individu lain telah ditahan di bawah SOSMA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, 24 individu termasuk pimpinan tertinggi syarikat itu telah direman dua kali masing-masing tujuh dan empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 ATIPSOM (Pindaan) 2022 pada 19 Sept lepas.

Mereka ditahan semula bersabit kertas siasatan kes buruh paksa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM (Pindaan) 2022 dan direman selama lima hari pada Isnin lepas yang akan berakhir esok.

Mengulas hasil siasatan dakwaan kewujudan pusat kuarantin GISBH di beberapa lokasi dalam dan luar negara pada Sabtu lepas, beliau berkata terdapat 10 pusat kuarantin di Malaysia manakala dua lagi di Indonesia dan Turkiye.

“Siasatan lanjut ke atas 10 pusat kuarantin tersebut mendapati bahawa tiga telah diserbu pada 21 Sept lepas manakala tujuh lagi didapati sudah tidak beroperasi.

“Tiga pusat kuarantin yang diserbu adalah di Air Bintan, Kota Tinggi (Pusat Perniagaan dan Ikhwan Resort di Johor), Labu Lanjut di Sepang dan Batu Hampar di Perak. Siasatan sehingga kini masih belum menunjukkan elemen-elemen lokasi tersebut dijadikan pusat kuarantin,” katanya.

Razarudin berkata jumlah terkini pembekuan aset di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 ialah 205 akaun berjumlah RM1,358,020.37 serta satu akaun berjumlah US$1,344.26 selain 31 kenderaan dan bas pelbagai jenis dan 19 lot hartanah.

“Jumlah terkini keseluruhan penyitaan aset di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 adalah 19 kenderaan dan sebuah lori, haiwan dengan nilai anggaran keseluruhan RM230,000, wang tunai berjumlah RM16,850 dan dua utas jam tangan dianggarkan bernilai RM600,” katanya.

Berhubung dakwaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak membenarkan anak-anak ahli GISBH kembali kepada keluarga, Razarudin berkata jabatan itu adalah agensi yang diberikan kuasa oleh mahkamah melalui perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pihak JKM diperintah untuk menempatkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan mereka apabila adanya aduan berlaku pengabaian, penderaan atau penganiayaan oleh ibu bapa atau penjaga sehingga suatu siasatan menyeluruh dijalankan dan keputusan siasatan dibuat oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata dalam kes membabitkan Op Global, ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan adalah suspek yang sedang disiasat bagi pengabaian kanak-kanak.

Polis melancarkan Op Global pada awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN