ISLAMABAD, 3 Oktober- Malaysia dan Pakistan mengulangi komitmen memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin.
Kata sepakat itu dicapai dalam pertemuan empat mata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif di Islamabad.
Jabatan Penerangan Akhbar Pakistan dalam satu kenyataan menyebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Ini termasuk masalah yang didepani umat Islam, selain mekanisme untuk meningkatkan kerjasama dua hala bagi mencapai keputusan konkrit dalam semua bidang berkenaan.
Datuk Seri Anwar dan Shehbaz Sharif juga menekankan kepentingan dialog serta menggariskan kepentingan Suruhanjaya Bersama Menteri (JMC) dan Konsultasi Dua Hala untuk meningkatkan libat urus di semua peringkat.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan negara tiga hari ke Pakistan sejak semalam bagi meningkatkan kerjasama dua hala dan mengeratkan hubungan persahabatan yang terjalin selama 67 tahun antara kedua-dua negara.