fb fb fb fb fb

Gencatan senjata Gaza, Mesir dan Malaysia berperanan penting

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Mesir dan Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha mencapai gencatan senjata segera dan memudahkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr turut menghargai sokongan padu Malaysia yang secara tidak langsung memperlihatkan penglibatan proaktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk memastikan akses untuk bantuan Malaysia dengan kerjasama Mesir.

"Sejak hari pertama, Mesir dan Malaysia telah bekerja tanpa kenal erti jemu dalam dua isu utama, gencatan senjata segera dan akses untuk bantuan kemanusiaan.

"Bantuan Malaysia diberi keutamaan untuk memasuki Gaza dan kerjasama sepenuhnya sedang dilakukan antara kedua-dua kerajaan bagi memastikan bantuan itu sampai tepat pada masanya kepada golongan yang paling memerlukan," katanya pada satu sidang media di sini.

Tambahnya lagi, melalui perbualan telefon baru-baru ini, Anwar memaklumkan kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi mengenai sumbangan Malaysia dan menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa untuk membiayai Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Komitmen Malaysia meliputi sumbangan kewangan dengan tambahan sebanyak AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA.

Mesir turut menyokong penyelesaian dua negara iaitu negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM