fb fb fb fb fb

Garis panduan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan, dirangka

JAWI optimumkan tanah perkuburan sedia ada / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 November - Pelaksanaan konsep kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan sedang dirangka menerusi garis panduan berasaskan kajian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Universiti Sains Malaysia (USM).

Usaha berkenaan merupakan alternatif baharu untuk mengatasi kekangan tanah perkuburan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, kajian turut merangkumi penilaian model perkuburan di Singapura, Kedah dan Pulau Pinang.

“Dalam melaksanakannya, kita tidak mahu tergesa-gesa dan perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk adat, sensitiviti serta amalan masyarakat setempat.

“Pengurusan kubur bertingkat, contohnya di Masjid Al-Jamiul Badawi, Pulau Pinang boleh dijadikan sebagai rujukan, tetapi di Wilayah Persekutuan mungkin pendekatan berbeza,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Bagi usaha jangka pendek, beliau menghargai usaha JAWI mengoptimumkan tanah perkuburan sedia ada melalui kerja-kerja peluasan dan pengaturan semula lot kubur melibatkan 11 tapak yang semakin penuh seperti disenaraikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

FAUZIAH ABD RAHMAN