fb fb fb fb fb

Gangguan air, LRA Rantau Panjang telah beroperasi sepenuhnya

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai- Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang sudah beroperasi sepenuhnya sehingga pada pukul 6.00 petang tadi.

Bagaimanapun, ujian bacaan persampelan bagi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) masih mencatatkan bacaan 1 TON berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.

Air Selangor menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan berikutan henti tugas tersebut, tujuh wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Pihak Air Selangor sedang berusaha meminimumkan impak kepada para pengguna.

"Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," menurut kenyataan itu.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM