47 maut, 329 cedera dalam serangan di Ukraine

Foto REUTERS

GENEVA, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh manakala 329 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, berikutan siri serangan di seluruh Ukraine antara Jumaat hingga Selasa lepas, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan 'double-tap' mensasarkan pusat beli-belah sesak di Kryvyi Rih, menyebabkan korban dan kecederaan.
  • PBB mengutuk keras insiden itu dan menegaskan orang awam wajib dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
  • Laporan mencatatkan kemusnahan kediaman, sekolah, kedai, kenderaan serta pelbagai infrastruktur awam di seluruh negara.
  • Serangan dron menyebabkan kebakaran besar di gudang Palang Merah Kherson, memusnahkan bekalan bantuan bernilai lebih AS$500,000.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, salah satu insiden paling berdarah melibatkan serangan ‘double-tap’ yang menyasarkan sebuah pusat beli-belah yang sesak dengan pengunjung di Kryvyi Rih, wilayah Dnipro.

Penyelaras Kemanusiaan PBB di Ukraine, Matthias Schmale mengutuk keras serangan berkenaan dan menegaskan bahawa orang awam wajib dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menurut PBB, laporan kemalangan jiwa dan kerosakan turut dicatatkan di seluruh negara itu, melibatkan kemusnahan kediaman, sekolah, kedai, kenderaan serta pelbagai infrastruktur awam yang lain.

Dalam insiden berasingan pada Ahad, serangan dron telah mencetuskan kebakaran besar di sebuah gudang Palang Merah Ukraine yang terletak di Kherson.

Kejadian itu memusnahkan pelbagai barangan serta bekalan bantuan yang dianggarkan bernilai lebih AS$500,000 (kira-kira RM2.1 juta).

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.