HRPB berjaya selaras pendermaan buah pinggang, tisu mata

Foto FB Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berjaya menyelaraskan satu kes pendermaan organ membabitkan seorang pesakit lelaki berusia 64 tahun yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan Jabatan Kecemasan, Trauma dan Neurosurgeri mendekati keluarga; keluarga bersetuju menderma selepas diberikan penjelasan penuh.
  • Hasil penilaian menunjukkan buah pinggang dan tisu mata sesuai untuk didermakan.
  • Proses perolehan mengambil masa lebih enam jam, mencerminkan ketelitian, kesabaran dan komitmen pasukan.
  • HRPB mengucap takziah dan terima kasih kepada keluarga serta menghargai kerjasama pasukan klinikal, NTRC dan hospital rakan kongsi.

HRPB dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan usaha pendermaan itu bermula menerusi pendekatan pasukan Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Jabatan Neurosurgeri kepada keluarga pesakit.

Menurut kenyataan itu, selepas diberikan penerangan mengenai proses pendermaan organ, keluarga pesakit dengan penuh keikhlasan bersetuju untuk menderma organ berkenaan.

“Hasil penilaian dan proses koordinasi pendermaan, buah pinggang dan tisu mata telah dikenal pasti untuk didermakan,” menurut kenyataan itu.

Proses perolehan organ dilaksanakan pada 25 Ogos dan mengambil masa lebih enam jam, dengan prosedur perolehan buah pinggang mengambil masa hampir empat jam sebelum diteruskan dengan proses perolehan tisu mata.

HRPB berkata tempoh berkenaan mencerminkan ketelitian, kesabaran dan komitmen pasukan yang terlibat bagi memastikan organ serta tisu yang sesuai dapat didermakan kepada mereka yang sedang menanti.

Proses itu turut diselaraskan Unit Perolehan Organ (UPOH) HRPB bersama pasukan klinikal dan sokongan bagi memastikan keseluruhan urusan pendermaan berjalan lancar.

Dalam pada itu, HRPB merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penderma serta penghargaan atas keikhlasan dan ketabahan mereka dalam membuat keputusan berkenaan.

“Dalam kesedihan kehilangan insan tersayang, keluarga telah memilih untuk memberikan peluang kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan.

“Keputusan yang lahir daripada keikhlasan ini bukan sahaja memberi makna kepada sebuah kehilangan, malah membuka ruang kepada harapan baharu untuk mereka yang sedang menanti,” menurut kenyataan itu.

HRPB turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan pengurusan tertinggi hospital, Unit Urologi, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Neurosurgeri, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Kritikal serta semua pasukan klinikal dan sokongan yang terlibat.

Penghargaan turut diberikan kepada pasukan National Transplant Resource Centre (NTRC) serta pasukan Urologi dari Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah atas kerjasama dalam menjayakan proses pendermaan berkenaan.

HRPB berharap usaha serta keikhlasan semua pihak dalam menjayakan pendermaan organ itu memberi manfaat kepada penerima, selain menjadi legasi kebaikan yang terus memberi harapan dan kehidupan kepada insan yang memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.