
SERDANG, 25 Ogos – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2026 bagi kategori Wira Negara.
- Pengiktirafan menghargai jasa beliau dalam membanteras ancaman keganasan dan jenayah terancang.
- Ayob menegaskan anugerah itu juga penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia dan pengorbanan pasukannya.
- Beberapa tokoh lain turut dihargai, termasuk Maulana Abdul Hamid sebagai Tokoh Agamawan dan pelbagai kategori nasional.
Pengiktirafan itu bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam membanteras ancaman keganasan serta jenayah terancang.
Tan Sri Ayob menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan sahaja buat dirinya tetapi juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara keseluruhan.
“Saya tidak menyangka akan menerima pengiktirafan ini kerana saya dimaklumkan mengenai perkara ini dalam dua atau tiga hari lepas.
“Ini satu pengiktirafan kepada PDRM dalam konteks pengorbanan. Secara jujur, saya tiada pengalaman bertempur (berperang) dengan komunis dan pengganas kerana tugasan tertumpu tangkapan sahaja. Jadi ini pengiktirafan buat saya dan pasukan PDRM,” katanya.
Tan Sri Ayob sebelum ini pernah menerajui Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, selain berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Sementara itu, kategori Tokoh Agamawan diberikan kepada Maulana Abdul Hamid Chin atas sumbangan beliau hampir tiga dekad dalam pendidikan dan pengajian hadis bersanad.
Maulana Abdul Hamid juga merupakan Syeikhul Hadis Madrasah Miftahul Uloom Seri Petaling serta penghafaz al-Quran.
“Pengiktirafan ini juga buat pengajian agama, pondok dan tahfiz kerana sebelum ini masyarakat memandang pengajian ini sebagai pilihan kedua.
“Justeru, dengan pengiktirafan ini menunjukkan komitmen kerajaan dan agensi berkaitan terhadap bidang ini,” katanya.
Selain itu, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dinobatkan sebagai Tokoh Perdana, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin, Tokoh Wanita MADANI dan Muhammad Mikhael Sathayah, Tokoh Khas Saudara Baru Cemerlang.
Seterusnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir pula dinobatkan sebagai Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Tokoh Belia Harapan, serta Haji Laman Haji Yasim, Tokoh Keluarga Mithali.