KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Seramai 1,500 peserta terdiri daripada masyarakat setempat dan pelancong menyertai acara Fun Run bersempena Karnival Maritim Perkasa 2024 (KMP2024) di Dataran Jambatan Angkat ('Drawbridge') Kuala Terengganu, hari ini.
Pengarah Komunikasi Korporat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Faridah Shuib berkata, selain mempromosikan gaya hidup sihat, acara itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat dengan Maritim Malaysia.
"Program itu secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada para peserta menikmati keindahan panorama 'Drawbridge' Kuala Terengganu. Ia disertai pelari terdiri daripada pelbagai peringkat umur seawal lima hingga 72 tahun. Aktiviti seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang kerana impak positif yang dihasilkan adalah besar dalam jangka masa panjang," katanya pada majlis pelepasan Fun Run KMP2024.
Majlis pelepasan Fun Run berkenaan telah disempurnakan Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi Maritim Berhad, Laksamana Madya Maritim (Bersara) Datuk Ibrahim Mohamed.