HANOI, 24 Februari- Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Hanoi bagi menghadiri Forum Masa Depan ASEAN (AFF) edisi kedua mencerminkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Adam Leong Kok Wey, menyifatkan lawatan Perdana Menteri sebagai tepat pada masanya.
Menurut beliau, forum AFF pada Rabu ini memberi peluang untuk Anwar menetapkan naratif berkaitan isu yang menjadi kebimbangan bersama sebelum Sidang Kemuncak ASEAN nanti.
Ini sekali gus memperkukuh kepimpinan diplomatik negara dalam menangani cabaran serantau.
Lebih-lebih lagi dalam mendepani ketegangan kuasa besar pada masa kini, mengenai isu keselamatan dan kemanusiaan di peringkat global tanpa mencetuskan konflik terbuka.
“Oleh itu, lawatan ini juga memperkukuh peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power) yang lantang bersuara dalam isu-isu kemanusiaan, ini termasuk konflik di Ukraine-Rusia dan Asia Barat.
“Sebagai negara berkecuali yang konsisten, Malaysia memilih pendekatan diplomasi omni-directional (tidak berpihak) dalam mengekalkan kestabilan serantau,” katanya ketika ditemui RTM baru-baru ini.
Tambah beliau, Malaysia sebagai anggota ASEAN secara konsisten menggunakan platform antarabangsa untuk menyuarakan isu Palestin.
“Perdana Menteri sentiasa tegas dalam mengutarakan situasi di Gaza, termasuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid yang berlaku di sana. Pendirian ini bukan bersifat politik, tetapi atas dasar kemanusiaan,” katanya.
Tambah beliau kedudukan Malaysia yang konsisten neutral menjadi faktor utama Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa.
"Malaysia bukan sekadar bercakap mengenai neutraliti, tetapi kita mempraktikkannya. Inilah prinsip yang ASEAN pegang sejak penubuhannya pada 1967, we walk the talk.
“ASEAN ditubuhkan berlandaskan semangat penyelesaian melalui dialog, rundingan terbuka dan diplomasi – kita mesti terus berpegang teguh kepada prinsip ini agar rantau ini kekal stabil dan dihormati,” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai negara yang mengamalkan diplomasi berasaskan prinsip ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality), Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Ukraine dan Rusia tanpa memihak kepada mana-mana blok.
Katanya, keupayaan Malaysia sebagai pengantara turut terbukti apabila Malaysia diberi penghormatan sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand.
Forum Masa Depan ASEAN (AFF) ialah platform serantau yang bertujuan menggalakkan dialog terbuka mengenai masa depan ASEAN.
Dianjurkan oleh Akademi Diplomatik Vietnam di bawah naungan Kementerian Luar Negeri Vietnam, forum ini dijadual berlangsung pada 25 dan 26 Februari dengan penyertaan lebih 500 delegasi dari pelbagai negara.