Fire Point Kampung Patau-Patau 1, tindakan awal bantuan ketika kecemasan

Fire Point Kampung Patau-Patau 1, Wilayah Persekutuan Labuan

LABUAN, 16 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan telah mewujudkan “Fire Point” bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap risiko kebakaran dan kecemasan di Kampung Patau-Patau 1.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fire Point merujuk lokasi strategik penempatan peralatan atau pasukan tindak balas awal untuk mempercepat bantuan kecemasan.
  • Kemudahan itu untuk kegunaan penduduk, dengan peralatan ditambah dari semasa ke semasa seperti fire blanket.
  • Agensi tempatan memberi komitmen bekerjasama merangka pelan tindakan bagi melindungi komuniti berisiko kebakaran.
  • Program SURI tingkat kesedaran keselamatan isi rumah dan latihan asas supaya penduduk boleh bertindak awal sebelum bomba tiba.

Pengarah JBPM Labuan, Abd. Rahman Ali berkata, “Fire Point” itu merujuk kepada lokasi strategik penempatan peralatan bomba atau pasukan tindak balas awal, bagi mempercepat bantuan ketika kecemasan.

Beliau berkata, ia adalah yang pertama dibina di pulau tersebut khususnya melibatkan perkampungan air dan kemudahan itu turut dirancang untuk diwujudkan di Kampung Bebuloh Laut dan Kampung Patau-Patau 2.

“Ia lebih kepada kegunaan penduduk kampung dalam menguruskan insiden yang mungkin berlaku. Peralatan yang disediakan itu berkemungkinan akan ditambah dari semasa ke semasa, termasuk fire blanket dan kelengkapan lain.

“Namun, semua ini merupakan tindakan awal bagi membantu mencegah kebakaran daripada menjadi lebih besar”, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail menyambut baik usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak JBPM Labuan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan berkata akan memberikan komitmen sepenuhnya dengan menjalin kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat dalam merangka pelbagai pelan tindakan membabitkan kawasan komuniti yang berisiko tinggi terhadap kebakaran dan keselamatan.

“Sekiranya terdapat sebarang risiko, kita telah pun mempunyai pelan tindakan untuk bekerjasama bagi memastikan kesengsaraan atau penderitaan rakyat akibat sesuatu bencana tidak berpanjangan. Perkara ini perlu kita pastikan dan beri keutamaan”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) anjuran JBPM Labuan di Kampung Patau-Patau 1.

Dalam pada itu, Program SURI merupakan program kesedaran keselamatan kebakaran yang memberi fokus kepada isi rumah, khususnya suri rumah dan komuniti setempat.

Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi risiko kebakaran di rumah.

Selain itu, ia juga memberi latihan asas kepada peserta supaya dapat mengambil tindakan awal sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.