fb fb fb fb fb

Festival makanan tradisional homestay, meriah dengan kehadiran pengunjung di Temerloh

Exco negeri, Leong Yu Man dan Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan menyantuni peserta festival

TEMERLOH, 9 Jun- Sebanyak 467 buah homestay yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyertai Majlis Perasmian Festival Makanan Tradisional Homestay Malaysia Tahun 2024 di Temerloh, Pahang.

Festival bermula Jumaat lalu sehingga Selasa depan turut disertai wakil luar negara iaitu Vietnam, Jepun dan Indonesia.

Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan berkata Temerloh menjadi tuan rumah bagi festival itu yang diadakan di Kampungstay Desa Murni dan Esplanade 1.

Mereka berpeluang mempromosikan makanan tradisi Malaysia seperti asam pedas yang popular di Melaka dan daging salai yang sinonim dengan masakan Negeri Sembilan di festival tersebut.

Tambah Sahariman, pelancong Jepun direkod sebagai bilangan pelancong paling ramai yang menyewa rumah inap di negara, diikuti Singapura, Indonesia, Korea dan Vietnam.

"Kita panggil semua daerah-daerah untuk turut serta. Selain itu, kita juga menjemput wakil dari luar negara antaranya Vietnam, Jepun dan Indonesia."

"Program tahun ini sebenarnya kita fokus kepada kulinari domestik, sebab itu kita ambil semua homestay tetapi jemputan kepada negara Asia termasuk Jepun. Jepun adalah rakan kongsi kita selain nombor satu bagi kedatangan dia untuk homestay," kata Datuk Sahariman kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Festival Makanan Tradisional Homestay Malaysia Tahun 2024 yang dirasmikan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.

Sementara itu, Leong Yu Man berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara pelancongan bertaraf nasional dan antarabangsa bagi membuka ruang tarikan kepada pelancongan di Pahang.

"Jadi, kita berharap bahawa dengan mempromosikan makanan-makanan tradisional ini, ia menjadi satu daya tarikan baru untuk pelancongan di negeri Pahang dan juga di Malaysia," Leong kepada pemberita.

Festival tersebut merupakan anjuran Persatuan Homestay Malaysia dengan kerjasama MOTAC, Tourism Malaysia, Tourism Pahang dan Majlis Perbandaran Temerloh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM