fb fb fb fb fb

FCoEE, terus cemerlang menyokong pendidikan mampan

Pelancaran program disempurnakan Penaung FCoEE, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil

KANGAR, 4 Mei- Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) terus cemerlang membantu sistem pendidikan Perlis yang mampan.

Ia juga bakal mencapai usia 1000 hari pada 17 Ogos depan.

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, sehingga kini sebanyak 37 program telah dijalankan termasuk program-program bersiri seperti Professional Learning Community (PLC) bagi guru-guru, Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), Program Transformasi Intelek SPM dan Geran Penyelidikan Data.

Secara keseluruhannya, program yang telah dianjurkan ini telah memberi manfaat kepada lebih 2,544 individu.

"FCoEE kini dalam usaha merangka Kompetensi Lepasan Sekolah bagi meningkatkan jati diri dan keyakinan anak Perlis dan juga pembangunan Unit Kajian Asnaf.

"Selain itu, FCoEE juga sedang membangunkan sistem pemantauan program dan pembangunan anak-anak asnaf yang diharapkan dapat memberi nilai tambah dalam merancang intervensi dan program khusus buat asnaf dijangka dapat digunakan bagi bermula September 2024", katanya pada pelancaran Program Jejak 1000 Hari Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin dan Sambutan Aidilfitri di Kangar.

Pelancaran program disempurnakan Penaung FCoEE, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

FCoEE turut menyediakan 45 geran penyelidikan berkaitan asnaf bernilai lebih RM500,000. Ia boleh dimanfaatkan oleh penyelidik institusi pengajian tinggi seluruh negara sepanjang tahun ini.

ROSLINA BINTI DIN