
Putrajaya, 9 Mac – Proses membawa pulang rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, kini pada fasa akhir persiapan.
- Arahan Perdana Menteri: semua langkah digerakkan segera demi keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat.
- Operasi diselaras bersama Kementerian Luar melalui pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
- MKN dan Kementerian Luar akan memberi perkembangan operasi secara berkala sehingga proses membawa pulang selesai.
- Ketegangan di Asia Barat meningkat susulan serangan dan balasan antara Israel, AS dan Iran; situasi terus dipantau.
Kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyebut langkah itu susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau tersebut.
“Operasi dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua langkah perlu digerakkan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
“Operasi diselaras dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan,”kata kenyataan itu.
Selain itu, MKN bersama Kementerian Luar juga akan menyalurkan perkembangan operasi secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia selesai.
Sejak 28 Februari, ketegangan di Asia Barat meruncing, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, di ikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Rekod Kementerian Luar mencatatkan setakat 8 Mac, 641 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa negara terjejas di rantau itu, manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac.