fb fb fb fb fb

Era neokolonialisme, masyarakat perlu bijak bezakan maklumat

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Masyarakat perlu lebih bijak dalam membezakan maklumat yang benar dan salah dalam menghadapi cabaran neokolonialisme era baharu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata penilaian maklumat penting untuk memerdekakan diri daripada berita palsu yang tersebar pantas, terutama di media sosial.

“Dahulu, kita menggunakan surat khabar dan media tradisional untuk bertindak balas, tetapi kini, media sosial menyebarkan maklumat dengan begitu cepat. Jika kita tidak berwaspada untuk melihat baik dan buruknya, ia boleh membawa padah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Anak Merdeka 2024 anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Warisan Anak Merdeka Kuala Lumpur dan Selangor, di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Aaron mengajak seluruh masyarakat untuk berganding bahu menjaga keharmonian negara dan menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia dengan mengangkat agenda perpaduan dalam kepelbagaian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN