KUALA LUMPUR, 23 Disember- Enam projek pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar di bawah Inisiatif Sekolah Angkat MADANI oleh Kementerian Ekonomi telah siap sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi pada 11 Disember lalu.
Projek tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM100,000 dan berjaya dilaksanakan sepenuhnya dari aspek fizikal serta kewangan hasil kerjasama erat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Clifford.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Ekonomi memaklumkan pelaksanaan projek berkenaan secara langsung menyumbang kepada pengukuhan ekosistem pendidikan dan pembangunan murid, selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ini terutama dalam menekankan pembangunan modal insan, pendigitalan pembelajaran serta usaha merapatkan jurang pendidikan antara wilayah.
"Antara projek utama yang telah disiapkan termasuk penaiktarafan Bilik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Kelas Pintar Tingkatan Enam, kemudahan ICT dan Internet sekolah, Studio Green Screen, pembinaan Taman dan Laluan STEM serta Bilik Kaunseling," katanya dalam kenyataan sama.
Majlis penyerahan projek itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Badrul Hisham, yang mewakili kepimpinan tertinggi kementerian.
Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar pembangunan infrastruktur, sebaliknya merupakan usaha jangka panjang bagi melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berdaya cipta dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Kementerian Ekonomi turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif Sekolah Angkat MADANI secara bersasar dan berimpak bagi memastikan setiap anak Malaysia memperoleh akses pendidikan yang adil dan saksama.