fb fb fb fb fb

Empat syarikat tayar celup diserbu, 262 unit tayar disita

Empat syarikat tayar celup pneumatik diserbu pihak berkuasa kerana disyaki menyalahgunakan penandaan Standard Malaysia (MS) 224 / Foto RTM

PUCHONG, 13 Februari – Empat syarikat tayar celup pneumatik diserbu pihak berkuasa kerana disyaki menyalahgunakan penandaan Standard Malaysia (MS) 224.

Serbuan yang dijalankan di sini, hari ini telah membawa kepada penyitaan sebanyak 262 unit tayar celup pneumatik serta dokumen perniagaan, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM80,000.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Azman Adam berkata penggunaan tayar yang tidak selamat, terutamanya pada kenderaan perdagangan, merupakan punca utama kemalangan yang mengakibatkan kematian.

"Saya ingin memberi ingatan kepada pengusaha-pengusaha yang ingin mengusahakan industri tayar celup ini, yang pertama haruslah mematuhi sepenuhnya piawaian MS 224 yang dikeluarkan oleh pihak SIRIM.

"Untuk makluman, kes yang kami ambil hari ini berkenaan dengan kelulusan yang telah tamat tempoh sejak tahun 2023 lagi. Ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam sidang media di salah sebuah lokasi serbuan, di sini hari ini.

Serbuan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli serta mendapat kerjasama dari Jabatan Kastam Di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan SIRIM.

Sehingga 12 Februari tahun ini, KPDN menerima 28 aduan daripada orang ramai mengenai keselamatan tayar celup untuk kenderaan.

KPDN menegur semua pihak untuk mematuhi perundangan yang berkuat kuasa dan memastikan produk tayar celup pneumatik memenuhi piawaian MS 224 bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN