fb fb fb fb fb

Empat nelayan ditahan tangkap ikan melebihi kawasan

FOTO MARITIM PERAK

IPOH, 5 Januari- Sebuah bot nelayan tempatan kelas B bersama empat nelayan warga tempatan ditahan kerana menjalankan aktiviti perikanan melebihi kawasan dibenarkan di kedudukan 4.3 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba, Perak, semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot terbabit didapati melanggar syarat lesen iaitu beroperasi kurang daripada lima batu nautika dari daratan di perairan negeri tersebut.

"Ia dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi bot peronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin menerusi OP Tanjung dan OP Sayong di perairan Perak, tengah hari semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga orang kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 52 hingga 67 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot dan semua hasil tangkapan mereka turut dirampas serta diserah kepada pegawai penyiasat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut.

Kes terbabit disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

SITI AISHAH BINTI MD ISA