
NEW YORK, 19 Julai – Asap tebal akibat kebakaran hutan di Kanada menyelubungi sebahagian besar timur Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjejaskan persiapan menjelang aksi final Piala Dunia 2026 di New Jersey hujung minggu ini.
- Kualiti udara merosot; IQAir laporkan New York paling tercemar, diikuti Toronto dan Washington.
- Pihak berkuasa menggesa kekal dalam rumah; ribut petir boleh membersihkan asap tetapi berisiko banjir kilat dan pokok tumbang.
- Pakar alam sekitar kaitkan peningkatan kebakaran hutan dan jerebu berulang dengan kesan perubahan iklim.
Asap kebakaran itu merentasi sempadan Kanada-AS, menyebabkan penduduk di New York, Washington dan beberapa kawasan Midwest dinasihatkan kekal di dalam rumah susulan kualiti udara yang berada pada tahap membimbangkan.
Menurut pemantau kualiti udara IQAir, New York pada satu ketika menjadi bandar paling tercemar di dunia akibat jerebu asap kebakaran, diikuti Toronto dan Washington.
Perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol dijadual berlangsung Ahad di stadium terbuka di New Jersey, berhadapan Manhattan yang diliputi asap tebal sehingga mengaburkan pemandangan kaki langit bandar itu.
Pengarah eksekutif pasukan petugas Piala Dunia Rumah Putih, Andrew Giuliani berkata, pihak penganjur kejohanan sedang memantau keadaan dengan rapat.
Cuaca buruk dijangka memberi sedikit kelegaan apabila ribut petir melanda New York, yang berpotensi membantu membersihkan asap, namun pada masa sama membawa risiko banjir kilat serta angin kencang.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menggesa penduduk mengurangkan aktiviti luar dan mengelak perjalanan tidak perlu.
“Ribut petir dijangka membawa angin kencang yang boleh menumbangkan pokok dan talian elektrik, selain hujan lebat yang berpotensi menyebabkan banjir kilat,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS turut memberi amaran asap masih akan menjejaskan kawasan itu, manakala pihak keselamatan Washington menyatakan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat khususnya bagi kanak-kanak, warga emas dan kumpulan berisiko.
Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Kanada melaporkan lebih 950 kebakaran hutan sedang berlaku di seluruh negara itu setakat Sabtu pagi.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menyalahkan Kanada berhubung pencemaran asap tersebut dan mengancam mengenakan tarif tambahan, selain mendakwa negara itu gagal mengurus kawasan hutannya dengan baik.
Bagaimanapun, Menteri Besar Ontario, Doug Ford menyifatkan tuduhan itu sebagai memalukan dan tidak boleh diterima, sambil menegaskan pasukan pemadam kebakaran Kanada sering membantu negeri-negeri AS ketika berlaku bencana.
Beliau berkata, Kanada akan terus membantu negara jiran itu sekiranya diperlukan.
Pakar alam sekitar pula mengaitkan peningkatan kejadian asap kebakaran hutan berulang dengan kesan perubahan iklim yang semakin ketara.-AFP