Diplomasi Korea Utara-Rusia diperkukuh

Foto Reuters

MOSCOW, 19 Julai Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui, melakukan lawatan rasmi ke Rusia bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Sergey Lavrov, menurut laporan media rasmi negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan Korea Utara dan Rusia semakin diperkukuh berkaitan konflik di Ukraine, termasuk perjanjian pertahanan semasa lawatan Putin 2024.
  • Korea Utara dilaporkan menghantar peluru berpandu, amunisi dan ribuan anggota tentera untuk membantu Rusia dalam konflik Ukraine.
  • Rusia membalas dengan bantuan kewangan, teknologi ketenteraan, makanan dan tenaga; kerjasama mendapat kecaman Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, Choe berlepas dari Pyongyang ke Moscow pada 18 Julai menaiki pesawat peribadi bersama delegasinya.

Lawatan tersebut diumumkan lebih awal oleh Kementerian Luar Rusia, sekali gus mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang semakin diperkukuh, khususnya dalam konteks konflik di Ukraine.

Sebelum ini, Rusia dan Korea Utara menandatangani perjanjian pertahanan ketika Presiden Rusia, Vladimir Putin, melawat Pyongyang pada 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Korea Utara dilaporkan menghantar peluru berpandu, amunisi serta ribuan anggota tentera bagi membantu Rusia dalam konflik di Ukraine. Sebagai balasan, Moscow dipercayai menyalurkan bantuan kewangan, teknologi ketenteraan, makanan dan tenaga kepada negara itu yang berdepan pengasingan diplomatik.

Pada April lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, turut menyatakan komitmen untuk membantu Rusia mencapai kemenangan dalam apa yang disifatkannya sebagai perang “suci”.

Pada bulan sama, Menteri Pertahanan Rusia, Andrei Belousov bersama beberapa pegawai kanan mengadakan lawatan ke Pyongyang bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ketenteraan, termasuk cadangan pelan kerjasama bagi tempoh 2027 hingga 2031.

Bagaimanapun, kerjasama erat antara kedua-dua negara itu mendapat kecaman daripada Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.

Kementerian Luar Korea Utara bagaimanapun mempertahankan hubungan tersebut sebagai satu “hak kedaulatan” negara.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.