Elaun pasca cuti bersalin, seiring piawaian global

Foto Hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) yang menjadikan Malaysia seiring piawaian global seperti digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), berupaya meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh aktif.

RINGKASAN BERITA AI
  • EPCB guna pendekatan perkongsian liabiliti, menyerap sebahagian kos sara hidup semasa cuti tambahan tanpa beban fiskal langsung kepada majikan.
  • Faedah dibiayai melalui dana keselamatan sosial, mengekalkan kesinambungan industri tanpa mengorbankan kebajikan wanita pasca bersalin.
  • Pelaksanaan melalui pindaan akta, turut meluaskan perlindungan kepada pekerja rentas sempadan sekitar 1.6 juta individu termasuk 480,000 perantau.

Faedah baharu yang bakal diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tersebut menggunakan pendekatan ‘perkongsian liabiliti’.

EPCB berperanan menyerap sebahagian beban kos sara hidup pekerja semasa cuti tambahan dan tidak memberikan kesan fiskal langsung kepada operasi majikan.

PERKESO memaklumkan pendekatan sedemikian dilaksanakan di pelbagai negara maju seperti Sepanyol, Portugal, Perancis dan China.

Ia memanfaatkan dana keselamatan sosial bagi memastikan kelangsungan industri tanpa mengorbankan kebajikan wanita pasca bersalin.

“Pelaksanaan ini bukan sahaja kritikal dalam memelihara kesihatan wanita hamil, malah menjadi benteng yang menampan kecenderungan wanita meninggalkan kerjaya selepas bersalin ekoran dibebani peningkatan kos sara hidup keluarga.

“Sebagai penggerak utama, PERKESO bertekad menjadikan EPCB sebagai tunjang kepada pemangkin pasaran buruh Malaysia yang lebih inklusif, adil dan progresif,” menurut kenyataan yang diedarkan hari ini.

Kenyataan sama menjelaskan faedah terbaharu itu akan dilaksanakan melalui pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Dalam pada itu, pelaksanaan Skim Pengembara PERKESO menerusi Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berperanan menutup kelompangan perlindungan sosial melibatkan pekerja rentas sempadan yang selama ini terdedah kepada risiko kelangsungan sosioekonomi.

“Langkah ini dijangka melindungi sekitar 1.6 juta individu, termasuk hampir 480,000 pekerja yang berulang-alik setiap hari menerusi Tambak Johor.

”Usaha itu juga bagi memastikan nadi ekonomi keluarga mendapat pembelaan sewajarnya daripada risiko yang tidak terjangkau sebelum ini.

“Ia bukan sekadar peluasan skim, sebaliknya manifestasi sokongan terhadap pengorbanan ratusan ribu pekerja yang berdepan risiko tinggi demi kelangsungan hidup,” menurut PERKESO.

Sebagai agensi yang memegang amanah perlindungan sosial negara, PERKESO menegaskan segala mekanisme operasi dan sistem sokongan telah diperkemas.

Usaha tersebut bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu berjalan lancar selaras aspirasi Kerajaan MADANI.

PERKESO kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk melaksanakan mandat tersebut demi memastikan setiap penambahbaikan memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat.