Penerbitan buku ilmiah fizikal kekal rujukan utama era lambakan maklumat digital

Foto Hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Dalam era lambakan maklumat digital, penerbitan buku ilmiah fizikal kekal sebagai rujukan utama yang tersusun, sahih dan diyakini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap penerbitan akademik melalui proses teliti memastikan kandungan lengkap, sumber dan asal usul maklumat jelas.
  • Manuskrip dinilai oleh pakar luar untuk memastikan kelengkapan maklumat dan kesahihan analisis.
  • Buku ilmiah menghimpunkan pengenalan, kaedah, analisis dan rumusan dalam satu naskhah memudahkan rujukan menyeluruh pelajar.
  • Cabaran utama penerbit ialah mendapatkan manuskrip berkualiti serta mengenal pasti karya yang menjadi rekod kehidupan semasa.

Ia bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga sebagai rekod penting kepada generasi akan datang.

Pengarah Penerbit Universiti Malaya (UM Press), Prof. Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, setiap penerbitan akademik perlu melalui proses teliti bagi memastikan kandungannya lengkap dan berautoriti dalam merakam zaman.

“Kandungan setiap penerbitan dipastikan lengkap, bukan sahaja dari segi maklumat, tetapi juga dari aspek sumber dan asal usul maklumat tersebut.

”Setiap buku dilengkapi dengan rujukan yang jelas, manakala analisis yang dikemukakan perlu sahih serta menepati teknik dan metodologi penyelidikan,” katanya.

Jelas beliau lagi, proses tersebut diperkukuh melalui penilaian manuskrip oleh pakar luar dalam bidang berkaitan dalam memastikan kelengkapan maklumat bukan menjadi isu, kerana ia merupakan sebahagian daripada proses standard penerbitan akademik.

Pengarah Penerbit Universiti Malaya (UM Press), Prof. Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri/Foto RTM

”Proses berkenaan sekali gus menjamin penerbitan kekal relevan dalam era semasa meskipun berdepan perkembangan platform digital,” katanya kepada pemberita selepas bersiaran di Selamat Pagi Malaysia .

Tambah Prof. Ir. Dr. Nahrizul Adib, kelebihan buku ilmiah adalah keupayaannya menghimpunkan keseluruhan proses ilmu daripada pengenalan, kaedah kajian, analisis hingga rumusan dalam satu naskhah yang mudah dirujuk.

Jelas beliau, ia membantu generasi muda mendapatkan kefahaman menyeluruh tanpa perlu bergantung kepada sumber digital yang tidak lengkap dan berpecah-pecah.

Dalam masa sama, cabaran utama penerbit adalah mendapatkan manuskrip dan idea penulisan yang berkualiti, selain mengenal pasti karya yang mampu dikembangkan sebagai rekod kehidupan masa kini.

“Setiap manuskrip yang diterima akan dinilai dan diteliti bagi mengenal pasti potensi untuk dikembangkan kepada judul-judul lain yang berkaitan, khususnya karya yang boleh berfungsi sebagai rekod kehidupan semasa.

”Penulisan tersebut tidak terhad kepada isu politik atau geopolitik semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bidang termasuk sejarah, pendidikan serta flora dan fauna di persekitaran.Semua perkara yang berlaku pada masa kini akan menjadi sebahagian daripada sejarah untuk rujukan generasi akan datang,” jelasnya.

Usaha itu juga bagi memastikan ilmu daripada universiti tidak terhenti di bilik kuliah atau jurnal semata-mata, sebaliknya dapat disampaikan kepada masyarakat umum dalam bentuk yang lebih mudah diakses dan difahami, sekali gus memperkukuh budaya membaca dalam negara.