
SINTOK, 2 Mei -Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menggerakkan Op Bersepadu Pemantauan Premis Perniagaan sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh pemantauan harga, kualiti perkhidmatan serta kebajikan mahasiswa di premis perniagaan dalam kampus.
- Menyahut seruan JPT untuk pemantauan dan kawalan harga makanan di universiti demi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.
- Operasi menumpukan pemantauan berkala harga, kualiti hidangan, kebersihan dan mutu perkhidmatan di kafeteria serta premis perniagaan kampus.
- Pendekatan bukan semata penguatkuasaan; ia platform libat urus, intervensi dan kerjasama PTJ sebagai jambatan antara mahasiswa, pengusaha dan pentadbiran.
Inisiatif itu digerakkan bagi menyahut seruan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) berkaitan pemantauan dan kawalan harga makanan di universiti awam demi memastikan kesejahteraan mahasiswa terus terpelihara.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal dalam kenyataan berkata, operasi bersepadu itu menumpukan kepada pemantauan berkala terhadap harga makanan dan minuman yang ditawarkan di kafeteria serta premis perniagaan kampus.
Katanya, ops tersebut juga bukan bersifat penguatkuasaan semata-mata, tetapi menjadi platform pemantauan, libat urus dan intervensi bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.
“Op juga dapat menilai aspek kualiti hidangan, kebersihan, mpematuhan kadar harga yang munasabah dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada mahasiswa.
“Usaha itu juga melibatkan kerjasama pusat-pusat tanggunjawab (PTJ) Universiti yang lain seperti, Jabatan Keselamatan (JK), Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) dan Pusat Penginaan Pelajar (SAC),” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kepimpinan mahasiswa dalam memainkan peranan sebagai jambatan antara mahasiswa, pengusaha premis dan pihak pentadbiran universiti.