
KUALA LUMPUR, 20 Ogos –Pendekatan berasaskan teknologi, pengurusan air yang cekap serta kesiapsiagaan pemain industri amat penting bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan negara sekiranya fenomena El Niño berlanjutan.
- Gunakan teknologi pengairan titisan, fertigasi dan hidroponik untuk mengurangkan penggunaan air sehingga hampir 90 peratus.
- Sebarkan dan guna benih padi tahan cuaca seperti Padi Putra CR untuk mengekalkan hasil serta mengurangkan kebergantungan air semasa kemarau.
- Pengurusan sumber air cekap perlu diberi keutamaan kerana air merupakan input paling kritikal dalam pengeluaran makanan.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata, pengurusan sumber air secara cekap perlu diberi perhatian khusus kerana air merupakan antara input paling kritikal dalam pengeluaran makanan.
Ini termasuk penggunaan teknologi yang dapat meminimumkan penggunaan air, selain memastikan tanaman terus mendapat bekalan air ketika cuaca panas dan kering.
“Salah satu caranya adalah dengan mengguna pakai teknologi. Antara teknologi yang sering digunakan untuk tanaman ialah pengairan titisan atau ‘drip irrigation’, sistem fertigasi dan hidroponik.
“Teknologi-teknologi itu dapat mengurangkan penggunaan air hampir 90 peratus berbanding kaedah pengairan secara konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media susulan sesi temubual menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia yang berlangsung di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.
Menurut Prof. Dr. Anjas Asmara, teknologi terkini juga boleh diguna pakai bagi menghasilkan benih padi yang lebih berdaya tahan terhadap cuaca ekstrem sebagai persediaan jangka panjang.
“Lagi satu, kalau kita lihat tanaman padi merupakan tanaman yang memerlukan penggunaan air yang sangat banyak. Terdapat beberapa teknologi benih padi baharu yang telah dihasilkan sama ada oleh UPM mahupun MARDI, yang mana benih-benih padi baharu ini mampu bertahan dalam musim kemarau.
“Di UPM, kita juga telah menghasilkan satu varieti padi yang kita panggil sebagai Padi Putra CR (‘Climate Resistance’), yang kini dalam proses akhir pendaftaran untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai benih padi sah subsidi.
“Apabila benih padi ini dapat disebarluaskan kepada pesawah, kita menyarankan agar benih padi ini digunakan pada waktu-waktu El Nino kerana ia menggunakan air yang kurang berbanding benih padi yang lain,”katanya lagi.