El Nino berintensiti kuat dijangka landa Malaysia, Asia Tenggara Jun ini

Foto kecil: Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Fredolin Tangang

KUALA LUMPUR, 24 Mac Malaysia dan rantau Asia Tenggara berkemungkinan besar akan berdepan semula dengan fenomena El Niño bermula Jun atau Julai ini, selari dengan permulaan Monsun Barat Daya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Ramalan Iklim AS ramal El Niño berintensiti antara kuat hingga ekstrem.
  • Fenomena dijangka berlanjutan sehingga hujung tahun dan mungkin berterusan awal tahun hadapan.
  • Kesan termasuk cuaca panas kering, kemarau panjang, kebakaran hutan, jerebu, kekurangan air dan gangguan hasil pertanian serta kesihatan.
  • Pihak berkuasa disaran ambil langkah awal bagi mengurangkan impak kepada ekonomi, sumber air dan kesihatan awam.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Fredolin Tangang berkata jangkaan itu berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat (AS).

Fenomena itu dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun dan berkemungkinan berlarutan hingga awal tahun hadapan sekiranya mengikut pola El Nino sebelum ini.

“Daripada data yang saya lihat di pusat ramalan ini, meliputi perkembangan di Lautan Pasifik, di permukaan dan kedalaman, boleh dikatakan El Nino berintensiti antara kuat hingga ekstrem berkemungkinan akan kembali, melanda dunia termasuk rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina dan memberi impak besar seperti yang pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.”

Sehubungan itu, pihak berwajib disaran mengambil langkah awal bagi mengurangkan impak terhadap ekonomi, sumber air dan kesihatan awam.

“Semasa tempoh El Nino yang kuat hingga ekstrem, cuaca akan panas, kering dan kemarau berpanjangan. Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai impak termasuk kebakaran hutan, jerebu setempat dan rentas sempadan, kekurangan sumber air serta menjejaskan aktiviti dan hasil pertanian.

Kita masih ada masa untuk bersedia. Fenomena ini dijangka bermula pada Monsun Barat Daya sekitar bulan Jun hingga Julai, dan jika mengikuti pola El Nino sebelum ini, kesannya boleh berlanjutan hingga hujung tahun dan awal tahun hadapan,” katanya.