KUCHING, 10 Oktober - Seramai 300 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan Ostex East Siri 2/2025 yang berlangsung di Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin sejak Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, eksesais bersepadu itu merupakan usaha strategik antara kedua-dua agensi bagi menguji tahap kesiapsiagaan aset, keupayaan anggota serta keberkesanan prosedur operasi standard dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan kecemasan maritim.
“Eksesais bersama ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dan TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negara. Ia juga amat penting sebagai persediaan menghadapi cabaran penguatkuasaan di laut,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini tiada ancaman keselamatan direkodkan di perairan Sarawak sepanjang tahun ini, termasuk aktiviti pencerobohan bot nelayan asing, hasil rondaan dan pemantauan berterusan agensi penguat kuasa.
Namun, beliau menyeru komuniti maritim serta nelayan agar terus menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan memandangkan keluasan perairan Sarawak menyukarkan pemantauan sepenuhnya dengan aset sedia ada.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan kedua-dua eksesais berkenaan di Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin, Kuching.
Menurutnya, penganjuran eksesais ini bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan operasi, malah mempererat kerjasama antara Maritim Malaysia dan TLDM dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara, khususnya di Sarawak, sentiasa terjamin.