fb fb fb fb fb

Dua remaja maut terbabit kemalangan motosikal di Machang

Foto Polis

MACHANG, 26 April - Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 53 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Machang Superintenden Ahmad Shafiki Hussin dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 12.45 pagi mengenai berlaku kemalangan membabitkan dua buah motosikal di lokasi terbabit.

Hasil siasatan awal yang mendapati motosikal ditunggang remaja dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Krai telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, seorang penunggang lain datang dari arah Kuala Krai dan akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua penunggang berusia 20 dan 15 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan itu.

Ahmad Shafiki berkata kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairulanwar Adam ditalian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang ditalian 09-9751222.
 

TETITIA YUSOFF