MIRI, 9 Mei- Dua orang lelaki mengalami kecederaan selepas nekad terjun dari bangunan kedai yang terbakar di Taman Jelita dekat sini, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sarawak menerima panggilan kecemasan mengenasi kejadian pada pukul 9.29 malam.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan BBP Lopeng diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Bonny Martin Saging Mato bersama 18 anggota serta jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, bomba mendapati kebakaran melibatkan bangunan kedai tiga tingkat yang dijadikan bilik sewa.
Kebakaran dilapor berlaku di tingkat dua yang musnah sepenuhnya, manakala tingkat tiga terbakar 10 peratus akibat haba dan 'smoke damage'.
Dua mangsa yang terlibat telah dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 11.24 malam.