
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Pos Malaysia Berhad melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, perkhidmatan simpanan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia memulakan simpanan dan pelaburan emas dengan modal serendah RM10.
- Perkhidmatan dibangunkan dengan kerjasama Go Capital Growth menyediakan platform digital yang mudah dan selamat.
- Simpanan emas digital boleh ditukar kepada emas fizikal apabila pegangan mencapai minimum 0.5 gram, dihantar ke alamat didaftarkan.
- Menyasarkan golongan B40, M40, belia, keluarga dan penyimpan kali pertama bagi akses simpanan serta pelaburan emas yang lebih mudah.
- Pembelian emas digital boleh dibuat melalui laman web, manakala emas fizikal ditawarkan di 65 cawangan Pos ArRahnu seluruh negara.
Perkhidmatan yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Go Capital Growth Sdn. Bhd. itu menawarkan platform digital yang mudah dan selamat, sekali gus memperluas akses kepada simpanan emas khususnya bagi penyimpan kali pertama, golongan belia, keluarga serta kumpulan B40 dan M40.
Ketua Pos ArRahnu, Muhammad Zubair Peerpulavar berkata, pelanggan boleh memulakan pembelian emas secara digital dengan nilai serendah RM10 sebelum meningkatkan pegangan mereka secara berperingkat.
Menurut beliau, simpanan emas digital itu juga boleh ditukarkan kepada emas fizikal apabila pegangan minimum mencapai 0.5 gram.
“Produk kita boleh dimulakan dengan serendah RM10. Jadi golongan yang kurang berkemampuan juga boleh mula menyimpan atau melabur dalam Gold-i. Apabila simpanan mencapai minimum 0.5 gram, pelanggan boleh menukarkannya kepada emas fizikal yang akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan melalui aplikasi,” katanya.
Beliau berkata, Pos ArRahnu Gold-i menyasarkan pasaran B40 dan M40 dengan menawarkan kaedah simpanan dan pelaburan emas yang lebih mudah diakses, selain memanfaatkan kepercayaan masyarakat terhadap jenama Pos Malaysia.
Tambahnya, keadaan harga emas semasa yang lebih rendah berbanding awal tahun turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mula membeli dan mengumpul emas.
Pembelian emas digital boleh dibuat menerusi laman web Pos ArRahnu Gold-i, manakala emas fizikal ditawarkan di 65 cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.
Majlis pelancaran perkhidmatan itu diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, hari ini, dan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer bersama Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn. Bhd., Fong Pok Yee.
Pelancaran Pos ArRahnu Gold-i merupakan sebahagian daripada usaha Pos Malaysia memperluas penawaran perkhidmatan kewangan bernilai tambah selaras dengan keperluan rakyat yang semakin beralih kepada penyelesaian digital untuk simpanan dan pelaburan.