
SHAH ALAM, 13 Julai – Akademi Digital Korea–ASEAN (KADA) Malaysia dilancarkan hari ini sebagai inisiatif strategik untuk melahirkan bakat Kecerdasan Buatan (AI) dan digital tempatan yang memenuhi keperluan industri.
- Program dua tahun bermula 2026 hasil kerjasama MDEC dan NIPA Korea Selatan.
- Sasar melahirkan kira-kira 200 profesional AI melalui empat kohort latihan.
- Peserta akan menerima latihan khusus AI dan teknologi digital untuk kemahiran praktikal, pendedahan global dan kompetensi industri.
- UiTM FSKM dipilih sebagai institusi hos dan program menyokong usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.
Program selama dua tahun bermula 2026 itu merupakan kolaborasi antara Kementerian Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan Agensi Penggalakan Industri Teknologi Maklumat Kebangsaan (NIPA) Korea Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil yang mewakili Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata KADA menyasarkan melahirkan kira-kira 200 profesional perintis AI dan digital menerusi empat kohort latihan sehingga tahun depan.
“Melalui Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030), kita memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri, pakar akademik dan rakan kongsi antarabangsa bagi memastikan rakyat Malaysia dilengkapi bukan sahaja untuk menggunakan teknologi baharu muncul, tetapi juga membangun, berinovasi dan memimpin dengannya,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran KADA Malaysia di UiTM Shah Alam, hari ini.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti latihan khusus dalam AI dan teknologi digital baharu bagi meningkatkan kemahiran praktikal, pendedahan global serta kompetensi industri selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dipilih sebagai institusi hos bagi pelaksanaan program itu di Malaysia.
Jelasnya, program berkenaan turut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang 2030 dengan memastikan rakyat bersedia mendepani ekonomi yang dipacu teknologi itu.
“Kita akan terus memperkukuh ekosistem AI Malaysia, memperluas peluang bagi rakyat serta membangunkan bakat digital yang kompetitif di peringkat global,” katanya.