Ketidaktentuan Selat Hormuz: Kos penghantaran dijangka kekal tinggi

Selat Hormuz. / Foto AFP

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketidaktentuan di Selat Hormuz dijangka mengekalkan kos penghantaran antara Malaysia dan Asia Barat pada paras tinggi, sekali gus menekan perniagaan tempatan yang bergantung kepada bahan mentah atau pasaran di rantau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan laluan boleh terus mendorong kenaikan harga bahan api dan komoditi, mengekalkan tekanan ke atas perniagaan.
  • Pengumuman Iran menutup Selat Hormuz menyebabkan harga Brent melonjak lebih tiga peratus.
  • Harga Brent sekitar AS$78 setong; mekanisme BUDI95 dan BUDI Diesel dijangka menyerap kesan kenaikan dalam tempoh terdekat.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata tekanan itu boleh berterusan sekiranya gangguan laluan perdagangan berkenaan terus mendorong kenaikan harga bahan api dan komoditi.

“Kos penghantaran antara Malaysia dan Asia Barat masih tinggi. Keadaan ini akan memberi tekanan kepada perniagaan yang menerima bahan mentah dari Asia Barat atau menghantar produk ke rantau itu,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata meskipun peningkatan kos logistik boleh memberi kesan kepada perniagaan, namun kenaikan semula harga minyak mentah Brent ketika ini masih belum memberi tekanan besar terhadap kedudukan fiskal negara.

Menurutnya, tekanan terhadap fiskal kerajaan lazimnya menjadi lebih ketara apabila harga minyak melepasi sekitar AS$90 setong.

“Jika dibandingkan dengan gelombang pertama konflik, harga minyak ketika itu pernah melonjak sehingga sekitar AS$110 setong.

“Bagaimanapun, pada masa ini harga minyak masih berada pada paras yang boleh diurus, iaitu sekitar AS$78 setong, manakala senario asas IPPFA kekal mengunjurkan harga Brent dalam lingkungan AS$80 hingga AS$85 setong,” katanya.

Mohd Sedek berkata mekanisme sedia ada seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) masih mencukupi untuk menyerap kesan kenaikan harga bahan api dalam tempoh terdekat.

Hujung minggu lalu, Iran mengumumkan Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak, sekaligus mengakibatkan harga Brent melonjak lebih tiga peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.