
BANTING, 15 Januari – Dua buah kilang di Kampung Olak Lempit, di sini musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku lewat malam tadi.
- Operasi pemadaman dimulakan selepas panggilan kecemasan dan enam jentera dengan 37 anggota digerakkan ke lokasi.
- Operasi awal dijalankan secara defensif akibat letupan dalam kilang, dengan kerja firebreak menghalang merebak ke premis bersebelahan.
- Gudang Pentas Flora dan kilang Polymex musnah 100 peratus; dua kilang bersebelahan hanya mengalami kerosakan kecil.
- Seramai 69 anggota bomba termasuk pasukan sukarela terlibat; tiada mangsa dilaporkan dan punca masih disiasat.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 malam sebelum menggerakkan enam jentera bersama 37 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba pada pukul 10.22 malam, kebakaran telah merebak dengan anggaran kemusnahan 80 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan beberapa balai bomba lain termasuk KLIA, Dengkil, Cyberjaya dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.
Operasi pemadaman pada peringkat awal terpaksa dilakukan secara defensif susulan berlakunya letupan di dalam kilang. Namun, kerja-kerja ‘firebreak’ berjaya menghalang api daripada merebak ke premis bersebelahan.
Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak sekitar pukul 1.15 pagi sebelum memasuki peringkat ‘overhaul’ pada pukul 2.30 pagi.
Gudang Pentas Flora dan kilang Polymex masing-masing musnah 100 peratus, manakala dua kilang bersebelahan mengalami kerosakan kecil.
Seramai 69 anggota bomba termasuk Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi. Tiada mangsa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.