UMNO terus sokong kerajaan, bertindak sebagai semak dan imbang

Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2025 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Januari – UMNO mengekalkan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan MADANI demi menjamin kestabilan politik dan keselamatan negara, sambil memainkan peranan tegas sebagai kuasa semak dan imbang dalam kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMNO terus menyokong Kerajaan MADANI demi memastikan kestabilan politik dan keselamatan negara.
  • Parti sertai Kabinet bukan untuk kuasa tetapi untuk memelihara kestabilan pentadbiran negara.
  • UMNO berperanan sebagai kuasa semak dan imbang memastikan dasar berpaksikan kepentingan rakyat.
  • Parti akan bertindak mempertahankan hak Melayu, kepentingan Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, pendirian itu diambil berdasarkan tanggungjawab parti kepada negara khususnya pasca Pilihan Raya Umum ke-15.

“Negara berada dalam keadaan tergantung dengan Parlimen tanpa majoriti jelas, manakala politik pula di ambang ketidaktentuan yang boleh menjejaskan ekonomi rakyat. Pada saat genting, Yang di-Pertuan Agong ketika itu bertitah agar UMNO, walaupun memiliki jumlah kerusi yang terhad, membantu membentuk kerajaan demi menyelamatkan negara.

“Justeru, UMNO menyertai Kabinet bagi membina kestabilan dan memastikan pentadbiran negara dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2025 di Dewan Merdeka, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Penyertaan UMNO dalam kabinet bukan bertujuan mengejar kuasa, sebaliknya bagi memastikan kestabilan nasional dapat dipelihara.

UMNO bukan sekadar rakan dalam kerajaan, sebaliknya berperanan sebagai penyemak imbang yang berkesan dalam memastikan dasar kerajaan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan asas negara.

“Kita masuk kabinet untuk bina kestabilan. Kita adalah sauh yang memastikan kapal negara tidak karam.Jangan sesiapa ingat UMNO ini melukut di tepi gantang. Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu,” katanya lagi.

Parti itu akan terus bersuara dan bertindak sekiranya asas pembinaan negara, termasuk hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, kesucian Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu, diganggu gugat.

Mengulas hala tuju parti, beliau berkata UMNO perlu kekal rasional dan bertanggungjawab dalam berpolitik demi menjamin kestabilan negara, selain memaksimumkan peranan sebagai pengimbang dalam landskap politik nasional.