
JOHOR BAHRU, 25 April – Dua kapal Malaysia yang telah meninggalkan Selat Hormuz, Iran, masih berdepan beberapa sekatan di perairan.
- Kerajaan sedang berunding dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin, menurut Perdana Menteri.
- Satu kapal sudah sampai dan satu lagi dalam perjalanan; satu mengalami kerosakan dan terkandas di pelabuhan, kata Anwar.
- Kenyataan itu dibuat selepas solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, disaksikan Menteri Besar Johor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang berunding dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.
“Satu sudah sampai, satu dalam perjalanan. Sebab kelulusan telah diberikan… cuma ada satu seperti yang saya telah umum minggu lalu, ada mengalami kerosakan dan ia terkandas di pelabuhan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Persekutuan merancang untuk melaksanakan langkah pengurangan penggunaan tenaga susulan ketidaktentuan situasi bekalan global ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah yang dipertimbangkan termasuklah mengehadkan pergerakan anggota Kabinet serta pelaksanaan dasar bekerja dari rumah.
Pendekatan itu dilihat bertepatan dalam mendepani krisis bekalan tenaga global yang kian meruncing, susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
“Kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga, termasuk mempertimbangkan langkah seperti bekerja dari rumah serta inisiatif lain yang berkaitan.
“Meskipun bekalan minyak negara dijangka stabil sehingga Jun ini, namun bekalan diesel sudah mula menghadapi cabaran. Oleh itu, beberapa langkah intervensi akan diambil dan diumumkan dari semasa ke semasa,” kata Datuk Seri Anwar.