fb fb fb fb fb

Dua daripada tiga lelaki Malaysia berisiko alami kegagalan ereksi

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 20 Mei – Dua daripada tiga lelaki di Malaysia berisiko mengalami masalah kegagalan ereksi (ED) atau 'mati pucuk'.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sebanyak 31.6 peratus lelaki Malaysia berumur 18 tahun ke atas dikesan mengalami ED pada tahap sederhana hingga teruk.

“Lebih membimbangkan, 69.5 peratus lelaki berumur 40 tahun ke atas turut mengalami ED,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) bagi pengurusan ED di sini, hari ini.

Menurut Lukanisman, ED bukan sekadar isu kesihatan tetapi turut memberi kesan sosial yang serius, termasuk menjadi punca kepada kadar penceraian yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Masalah ED ini menyumbang kepada 70 peratus kes penceraian dalam masyarakat. Ia perlu dilihat sebagai penyakit serius, sama seperti diabetes, hipertensi atau kolesterol,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membangunkan CPG khas untuk memastikan pengurusan dan rawatan ED dilakukan secara menyeluruh dan berkesan oleh pengamal perubatan.

“CPG ini dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun dan telah diedarkan kepada klinik-klinik, institusi pengajian tinggi serta persatuan perubatan sebagai rujukan rawatan komprehensif ED,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lukanisman turut menegaskan penjualan ubat-ubatan ED yang tidak dikawal akan terus dipantau oleh Bahagian Farmasi KKM.

Pihak kementerian juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok untuk membendung penjualan haram ubat ED secara dalam talian.

“Saya ingin tegaskan bahawa ubat untuk merawat ED tidak seharusnya disalahguna sebagai produk untuk meningkatkan prestasi atau stamina seksual lelaki. ED adalah penyakit yang memerlukan rawatan perubatan, bukan alat peningkat nafsu,” tegasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN