(Tiga rumah teres terbakar di Pasir Gudang, awal pagi tadi)
PASIR GUDANG, 15 April- Tiga buah rumah teres terbakar, manakala tiga buah kereta dan tiga buah motosikal turut musnah dengan dua beradik hampir menjadi korban dalam kejadian di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 3.37 pagi.
Seramai 21 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya bersama jentera digegaskan ke lokasi.
Jelas Sarhan, dua mangsa iaitu Murni Atikah Zainalabidin, 25, dan adiknya Azian Zainalabidin, 20, ditemui separa sedar di tingkat atas rumah jenis teres dua tingkat itu, manakala lima lagi ahli keluarga di rumah sama berjaya menyelamatkan diri.
Kedua-dua mangsa diberikan bantuan pernafasan selepas berjaya dibawa keluar dari rumah tersebut, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
"Kebakaran itu memusnahkan sebanyak 20% bagi rumah pertama, 90% rumah ditengahnya dan 40% bagi rumah ketiga. Manakala tiga buah kereta telah terbakar 80% dan 3 buah motosikal terbakar 95%," katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi ditamatkan pada pukul 6.22 pagi.
(Kebakaran pagi tadi di Pasir Gudang turut memusnahkan tiga buah kereta
dan tiga buah motosikal)