
SETIU, 16 Mac – Dua maut, tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kampung Buluh dekat Bandar Permaisuri, pagi tadi.
- Mangsa yang maut ialah anggota tentera Muhammad Aminuddin Amran dan Mohamad Shakiran Saidi, pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
- Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler.
- Kereta dipandu Muhammad Aminuddin terbakar; orang awam berjaya memadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
- Pemandu treler dan dua penumpang Proton Saga cedera, dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan.
Kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu berlaku di kilometer 69, berhampiran sebuah stesen minyak.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris mengesahkan, kemalangan melibatkan sebuah lori treler dengan tiga buah kereta.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu dan penumpang kereta dikenali sebagai Muhammad Aminuddin Amran dan Mohamad Shakiran Saidi, masing-masing berusia 21 dan 36 tahun dan berasal dari Kelantan.
Kedua-dua mangsa merupakan anggota tentera yang bertugas di Kem 7, Workshop Briged Tebrau Johor, dan dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori treler yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu.
Pelanggaran tersebut menyebabkan treler menggelongsor ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lagi kereta sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan yang diparkir di bawah garaj berbumbung.
Insiden menyebabkan kereta dipandu Muhammad Aminuddin terbakar, namun api berjaya dipadamkan orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
Kedua-dua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu treler serta dua mangsa dari Proton Saga dilaporkan cedera dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat dijalankan oleh lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu yang tiba di lokasi kira-kira dua minit selepas menerima panggilan kecemasan.