fb fb fb fb fb

DPP perkemas proses pendaftaran pelarian

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Kerajaan akan membangunkan sistem Data Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi meningkatkan kredibiliti data dan melengkapi proses sedia ada yang dikendalikan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai langkah awal, inisiatif tersebut telah dimulakan membabitkan seramai 37,000 individu didaftarkan secara biometrik menerusi projek rintis, termasuk mereka yang berada di depot tahanan imigresen.


"Untuk mempercepatkan kita menangani isu pelarian ini. Majlis Keselamatan kata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjalankan kutipan data pendaftaran pelarian (DPP) ini.

"Kita sekarang sedang menjalankan proses perolehan. Kita kena lantik vendor untuk laksanakan sistem ini dan kita akan gunakan infra dalam KDN misalnya Jabatan Imigresen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program INTAN Minister Conversation (IMC) 2025 bertemakan 'Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab Bersama' di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, di sini.

Pihaknya juga sedang meneliti langkah seterusnya selepas proses pendaftaran, antaranya bagi memastikan pengurusan lebih komprehensif tanpa berkompromi terhadap keselamatan negara serta mengambil kira hak asasi kemanusiaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI