
PUTRAJAYA, 6 Ogos – Persaingan politik di peringkat negeri tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, yang akan terus memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pelaksanaan amanah kepada rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.
- Kerajaan akan terus berfungsi seperti biasa dan melaksanakan setiap tanggungjawab diberikan rakyat dengan sebaik mungkin.
- Perbezaan politik tidak boleh mengatasi kepentingan pentadbiran; dasar dan program mesti memberi manfaat nyata kepada rakyat.
- Kerajaan fokus meningkatkan peluang ekonomi dan kesejahteraan luar bandar serta mencari 'game changer' untuk membuka peluang dan meningkatkan pendapatan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan ketika ini akan terus berfungsi seperti biasa dengan memastikan setiap tanggungjawab yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin.
Beliau menegaskan, perbezaan politik tidak seharusnya mengatasi kepentingan pentadbiran, sebaliknya segala usaha perlu diterjemahkan menerusi dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Apa juga dinamika politik yang berlaku, rakyat akhirnya akan menilai keberkesanan sesebuah kerajaan melalui perubahan dalam kehidupan mereka dan sejauh mana hasilnya benar-benar dapat dirasai.
“Sebab itu pendekatan saya sentiasa jelas. Kita mesti mencari ‘game changer‘ yang mampu membuka peluang baharu, meningkatkan pendapatan dan membawa perubahan kepada masyarakat desa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, walaupun aspek politik memainkan peranan dalam membentuk mandat sesebuah kerajaan, perkhidmatan awam perlu terus berpaksikan kepentingan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang berintegriti.
Menurut beliau, fokus utama kerajaan adalah memastikan dasar yang dirangka mampu membawa perubahan nyata, termasuk meningkatkan peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut menekankan keperluan semua pihak dalam pentadbiran untuk terus bekerja secara berkesan dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan menerusi hasil serta impak yang dapat dilihat.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lepas menyaksikan BN bersama Perikatan Nasional (PN) menerajui Kerajaan Negeri Sembilan selepas meraih kemenangan dua pertiga.
Kerajaan Perpaduan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 apabila tiada mana-mana gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.