
PUTRAJAYA, 6 Ogos – Penjawat awam perlu mengekalkan profesionalisme dan berkecuali dalam melaksanakan tugas, tanpa dipengaruhi oleh sebarang unsur politik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Kewaspadaan terhadap konteks politik diperlukan untuk memahami dasar kerajaan, tetapi tidak membenarkan penglibatan dalam politik kepartian.
- Profesionalisme sebagai garis pemisah memastikan pelaksanaan amanah berintegriti dan adil.
- Pelaksana tugas harus utamakan neutraliti dan kepentingan rakyat ketika mentafsir dan menyampaikan dasar melalui perkhidmatan berkesan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kepekaan terhadap konteks politik penting bagi membantu penjawat awam memahami dasar kerajaan, namun mereka tidak boleh terheret dalam politik kepartian.
Beliau berkata, profesionalisme perlu menjadi garis pemisah yang jelas bagi memastikan setiap amanah dilaksanakan secara berintegriti dan adil.
“Inilah realiti sebuah negara demokrasi walaupun mungkin bukan perkara biasa berlaku dalam sejarah pentadbiran negara. Pada saya tidak salah bagi penjawat awam untuk bertanya, memahami dan mendapatkan penjelasan tentang perkembangan politik semasa tanah air.
Itulah juga realiti pentadbiran di banyak negara, penjawat awam perlu peka terhadap konteks politik yang membentuk dasar kerajaan, tetapi tidak boleh terheret ke dalam politik kepartian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, penjawat awam memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan dapat diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
Menurut beliau, pemahaman terhadap perkembangan politik semasa dapat membantu penjawat awam memahami rasional sesuatu dasar, namun pelaksanaan tugas mesti kekal berlandaskan prinsip neutraliti dan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penjawat awam supaya terus menjalankan tanggungjawab secara profesional, berintegriti dan tidak dipengaruhi kepentingan politik ketika melaksanakan amanah yang diberikan.