
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Gaya hidup moden, corak pemakanan tidak sihat serta kurang aktiviti fizikal dikenal pasti antara faktor utama peningkatan kes kolesterol tinggi dan penyakit jantung dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk golongan muda.
- Penggunaan platform penghantaran dan makanan tular menyumbang kepada tabiat pemakanan tidak sihat.
- Amalkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima hari seminggu atau tiga sesi 10 minit.
- Gunakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan; pengesanan awal penting kerana serangan jantung kini berlaku pada usia lebih muda.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Cheras, Dr. Wong Ping Foo berkata, kemudahan mendapatkan makanan menerusi pelbagai platform penghantaran serta kecenderungan masyarakat mencuba makanan tular atau viral menyumbang kepada tabiat pemakanan yang kurang sihat.
Menurut beliau, rakyat Malaysia juga masih mengamalkan gaya hidup sedentari atau kurang aktif apabila ramai menghabiskan masa dengan duduk terlalu lama setiap hari tanpa melakukan aktiviti fizikal.
“Saranan umum ialah melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima hari seminggu. Jika sukar meluangkan masa selama 30 minit secara berterusan, ia boleh dibahagikan kepada tiga sesi selama 10 minit.
Misalnya selepas sarapan, makan tengah hari dan makan malam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini.
Dr. Wong berkata, Malaysia turut merekodkan usia serangan jantung pertama yang lebih muda berbanding beberapa negara lain, iaitu kira-kira 10 tahun lebih awal.
Malah, katanya, terdapat kes serangan jantung yang dilaporkan membabitkan individu seawal usia 19 tahun.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai memanfaatkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang disediakan di klinik kesihatan serta menerusi program saringan komuniti bagi mengesan faktor risiko penyakit lebih awal.
Menurutnya, pengesanan awal membolehkan individu mendapatkan rawatan dan mengubah gaya hidup sebelum keadaan menjadi lebih serius, sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.