SHAH ALAM, 15 September: Dasar pendidikan negara perlu dirombak semula bukan sahaja demi memberi impak kepada pelajar, tetapi juga menyelesaikan cabaran pelajar yang tidak mampu menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan perlu disemak semula khususnya berkaitan silibus Darjah Enam dan Tingkatan 3.
"Saya mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) dan juga Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek), kebanyakannya (pelajar) tidak boleh mengikuti 3M itu.
"Wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan Darjah 6, Tingkatan 3, hanya ada Tingkatan 5 sahaja.. mesti dirombak," katanya semasa ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-78 di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata orang ramai diminta tidak salah tafsir mengenai isu sijil halal yang berlegar di media sosial baru-baru ini.
Jelasnya, penerangan dan gambaran sebenar akan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Rabu ini bagi memberi gambaran jelas mengenai isu permohonan sijil halal.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata rundingan bagi pembahagian peruntukan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang boleh diadakan sekali lagi sekiranya syarat ditetapkan oleh kerajaan kepada mereka.
"Saya mengikuti ulasan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional terhadap draf MoU peruntukan yang telah diserahkan draf kepada mereka dan jika mereka bersetuju atau sebaliknya, itu terserah kepada pemimpin mereka setelah berbincang dengan ahli-ahli Parlimen yang berada di bawah mereka," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata generasi huffaz akan terus diperkasa.
Kesediaan bagi memastikan golongan berkenaan mampu bersaing serta menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.
Beliau berkata Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, telah memperkemas Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap dan Skim Pembiayaan Hafiz.
Turut diperkasa, Program Eksplorasi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Tahfiz.
Ahmad Zahid bersyukur atas kejayaan penganjuran Himpunan 24K Huffaz yang disempurnakan Perdana Menteri, semalam.
Kehadiran 24,000 para huffaz dari seluruh negara menunjukkan komitmen kerajaan memartabatkan al-Quran dan para huffaz sebagai modal insan yang penting bagi negara.